Panduan Pendawaian Rumah (House Wiring) - Suis Utama Dan Saiz Wayar
Artikel ini menerangkan tentang panduan mereka bentuk sistem pendawaian elektrik di rumah yang biasa diamalkan oleh juruelektrik di Malaysia. Sebenarnya tiada pengiraan khusus untuk menentukan saiz wayar, MCB, RCCB dan bilangan mata kuasa memandangkan kita tidak mengetahui berapa banyak beban yang akan digunakan oleh pengguna di rumah.
Walaubagaimanapun, sebuah badan antarabangsa yang dikenali sebagai IEEE (Institut Jurutera Elektrik dan Elektronik) telah menyediakan garis panduan untuk rekabentuk pendawaian elektrik ini.
Berikut merupakan barang-barang utama sebuah kotak/papan agihan bagi pendawaian elektrik rumah.
Suis Utama/Pengasing litar (Molded Case Circuit Breaker - MCCB)
Yang paling penting. Fungsinya untuk memutuskan bekalan eletrik. Nak ke kerja dalam keadaan wayar sentiasa ada arus. Silap-silap terkena renjatan elektrik. Jadi sebelum nak buat wiring, tutup suis ini dahulu.
Pemutus litar arus baki (RCB/RCCB)
Berfungsi sebagai perlindungan kebocoran arus ke bumi dan pengasing litar.
Pemutus litar kenit (MCB)
Sama fungsi dengan MCCB tetapi pada kadaran yang lebih kecil. MCB ini yang akan disambungkan ke lampu-lampu, kipas-kipsa dan alatan letrik yang lain.
Wayar/Kabel Elektrik
Kebiasaannya di rumah hanya pakai kabel 1.5 mm dan 2.5 mm kecuali untuk penghawa dingin dan pemanas air. Jadi kalau untuk pendawaian di rumah, lebih baik beli 3 gulung wayar 1.5 mm dan 3 gulung 2.5 mm. Kenapa 3 gulung? Sebabnya untuk wayar Hidup (Live), Neutral dan Bumi (Earth).
Saiz wayar (mm) | Kesesuaian Alat Elektrik |
---|---|
1.5 | Lampu, kipas |
2.5 | Soket plug 3 pin |
4 | Peralatan yang menggunakan elektrik lebih seperti pendingin hawa dan pemanas air. |
Jadual saiz wayar dan kesesuaian
Jenis Wayar | Warna Wayar |
---|---|
Bumi (E) | Hijau |
Neutral (N) | Hitam |
Hidup (L) | Merah |
Kebiasaanya warna hijau digunakan untuk wayar Bumi dan Hitam untuk Neutral. Kadang-kadang ada yang gunakan warna Putih untuk neutral. Warna merah pula untuk wayar hidup dari MCCB. Warna-warna lain seperi Biru dan Kuning digunakan untuk wayar dari kotak suis.
Pendawaian Elektrik
Pendawaian elektrik di rumah bermula daripada papan agihan atau dalam Bahasa Inggerisnya disebut sebagai Distribution Board (DB). Papan agihan terdiri daripada MCCB, RCCB dan MCB. Pendawaian elektrik akan diagihkan ke dalam rumah melalui MCB.
Gambar di atas menunjukkan sistem pendawaian elektrik yang biasa dipasang untuk rumah 1 tingkat 3 bilik. (Klik pada gambar untuk besarkan).
Terdapat 4 jenis litar pendawaian elektrik rumah iaitu litar gelang, litar jejari, pencahayaan dan litar khusus.
1. Litar jejari
Pendawaian litar jejari hendaklah meliputi jumlah kawasan bersaiz 50m². Tiada had bilangan soket alir keluar 13A (soket plug) untuk litar ini, tetapi mengikut pengalaman jurutera elektrik dan juruelektrik, 6 unit soket plug adalah bilangan yang ideal untuk kawasan seluas 50m². Biasanya litar jejari digunakan untuk pendawaian soket plug di dalam bilik. Saiz minimum wayar untuk litar ini adalah 2.5mm² bertebat PVC dan ia disambung pada MCB bersaiz 16A.
2. Litar gelang
Litar gelang adalah litar di mana pangkal dan hujung pendawaiannya disambung pada MCB yang sama. Pendawaian litar jejari hendaklah meliputi jumlah kawasan bersaiz 100m². Tiada had bilangan soket alir keluar 13A (soket plug) untuk litar ini, tetapi mengikut pengalaman jurutera elektrik dan juruelektrik, 10 unit soket plug adalah bilangan yang ideal untuk kawasan seluas 100m². Biasanya litar gelang digunakan untuk pendawaian soket plug di luar bilik seperti ruang tamu, ruang berehat dan dapur. Saiz minimum wayar untuk litar ini adalah 2.5mm² bertebat PVC dan ia disambung pada MCB bersaiz 32A.
3. Litar pencahayaan
Lampu, kipas, loceng pintu dan jam elektrik disambung pada litar pencahayaan. Jumlah maksimum mata kuasa yang dibenarkan untuk litar pencahayaan adalah 10 unit. Saiz minimum wayar untuk litar ini adalah 1.5mm² bertebat PVC dan ia disambung pada MCB bersaiz 6A.
4. Litar khusus
Litar khusus adalah untuk peralatan elektrik yang kuasanya melebihi 2000 Watt seperti pemancur air panas, oven dan penghawa dingin. Setiap peralatan ini hendaklah dikhususkan satu litar pendawaian terus dari papan agihan, disambung pada MCB bersaiz 20A dengan saiz minimum wayar 2.5mm² bertebat PVC. Sebagai contoh, rumah anda mempunyai satu unit pemancur air panas dan 2 unit penghawa dingin. Ini bermakna anda memerlukan 3 litar khusus untuk peralatan tersebut. Litar khusus 1 untuk pemancur air panas, litar khusus 2 untuk penghawa dingin pertama dan litar khusus 3 untuk penghawa dingin kedua.
Dalam sesebuah rumah, bilangan litar jejari, litar gelang dan litar pencahayaan boleh lebih dari satu. Sebagai contoh, rumah 2 tingkat dengan 4 bilik. Litar jejari, litar pencahayaan dan litar gelang pertama adalah untuk tingkat bawah manakala litar jejari, litar pencahayaan dan litar gelang yang kedua adalah untuk tingkat atas.
Kesemua MCB ini akan disambung pada RCCB dengan menggunakan wayar bersaiz 4mm² (minimum). Terdapat dua saiz RCCB yang sesuai untuk pendawaian elektrik dalam rumah iaitu 40A dan 63A. Sekiranya rumah anda memerlukan soket plug dan mata kuasa kipas/lampu tidak melebihi 20 unit dan tiada penggunaan peralatan elektrik berkuasa lebih 2000W, RCCB bersaiz 40A sudah mencukui. Jika lebih dari 20 unit dan mempunyai peralatan elektrik 2000W ke atas, RCCB 63A diperlukan. Gunakan RCCB yang mempunyai kepekaan 100mA.
Kesimpulannya, pendawaian elektrik yang baik bagi sesebuah rumah hendaklah dibuat oleh juruteknik elektrik yang bertauliah. Berikutan harga barang dan alatan elektrik yang semakin mahal, harga bagi setiap pendawaian elektrik juga semakin meningkat.
Berikut merupakan harga atau upah bagi pendawaian elektrik rumah.
Pendawaian lampu dari RM90.
Pendawaian kipas dari RM110.
Pendawaian soket plug dari RM110.
Pendawaian water heater dari RM180.
Pendawaian aircond dari RM180.
Pendawaian doorbell dari RM250.
Pendawaian auto gate dari RM800.
Pemasangan D.B (Distribution Board) dari RM500.
Pemasangan semua jenis lampu dari RM25.
Pemasangan semua jenis kipas dari RM40.
Pemasangan water heater dari RM100.
Pemasangan Pembumian Elektrik dari RM400
* harga di atas adalah harga permulaan untuk pendawaian jenis permukaan yang menggunakan pvc pipe atau pvc casing
** Jika pendawaian terbenam dalam dinding (conceal) harga adalah bergantung pada skop laluan yang perlu di "hacking".